Rabu, 27 Jun 2012

KELEBIHAN BULAN SYA’BAN





Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Dia (Allah) yang memiliki sekelian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw juga kepada ahli keluarganya serta para sahabat sekelian.

Masa berlalu begitu pantas, sedar tak sedar Rejab telah meninggalkan kita, Sya’ban pula mula menjenguk kita dan tak lama kemudian kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadan. Marilah sama-sama kita berdoa agar Allah memberikan kesihatan dan panjang umur untuk berjumpa bulan Ramadan “ Ya Allah sampaikanlah kami pada bulan Ramadan”.

Biasanya apabila tiba bulan Muharam,Rejab, Sya’ban dan Ramadan, kita seringkali mendengar hadis-hadis mengenai keistemewaan dan kelebihan bulan-bulan ini akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya ialah hadis: “Rejab bulan Allah, Sya`ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Menurut kebanyakan ulama' hadis ini adalah hadis munkar atau dengan erti kata yang lain ia adalah hadis palsu (bohong). Sewajarnya untuk membicarakan tentang kelebihan atau keistemewaannya kita menjadikan ulama’ hadis sebagai rujukan supaya kita benar-benar membawakan hadis-hadis daripada riwayat yang sahih.

Berikut adalah sebahagian daripada hadis yang boleh diterima:

1.       Daripada Usamah bin Zaid r.a. beliau meriwayatkan:
قلت يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم من شعبان؟ قال ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم. ( صحيح)


Maksudnya:
Saya bertanya Rasulullah saw : "Ya Rasulullah, saya tidak pernah melihat anda berpuasa dari satu bulan dari bulan-bulan yang lain seperti anda berpuasa dari bulan sya'ban." Aku bertanya kepada baginda " Kenapa aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dibulan-bulan yang lain sepertimana engkau berpuasa dibulan Sya'ban." Baginda saw menjawab: Itulah bulan yang manusia melupakannya iaitu diantara bulan Rejab dan bulan Ramadan. Ia juga bulan yang diangkatkan amalan kepada Allah swt. Aku suka diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa." (Hadis Sahih)


2.       Ummu Salamah r.a. meriwayatkan katanya:
ان رسول الله i لم يكن يصوم من السنة شهرا تاما الا شعبان يصل به رمضان.
( صحيح)
Maksudnya:
“Bahawasanya Rasulullah saw tidak berpuasa sebulan penuh dari setahun melainkan bulan Sya’ban dengan Ramadan”. (Hadis Sahih)



3.        ‘Aisyah r.a. pula meriwayatkan katanya:
ما رأيت رسول اللهiاستكمل صيام شهر قط الا شهر رمضان وما رأيته في شهر أكثر منه صياما في شعبان . ( صحيح)
Maksudnya:
“Saya tidak pernah melihat Rasulullah saw meyempurnakan puasa sebulan sama sekali  kecuali dibulan Ramadan, dan saya tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa daripada bulan Sya’ban”. (Hadis Sahih)

Dan menurut satu riwayat lain disebutkan:
لم يكن النبي يصوم اكثر من شعبان فانه يصوم كله. ( صحيح)
Maksudnya:
"Nabi saw tidaklah berpuasa lebih banyak daripada bulan sya'ban kerana sesungguhnya ia berpuasa
sebulan penuh." (Hadis sahih)

Penerangan Hadis:
1.       Rasulullah SAW  menghayati semua atau sebahagian besar bulan Sya’ban dengan mengerjakan puasa sunat.
2.       Disunatkan memperbanyakkan ibadat puasa dalam bulan Sya’ban kerana dalam bulan ini ramai manusia melupakannya ( lalai).
3.       Segala amalan akan diangkat kepada Allah SWT dalam bulan Sya’ban.
4.       Tiada amalan khusus seperti puasa nisfu Sya’ban sebaliknya hanya puasa-puasa sunat sahaja seperti puasa hari isnin dan khamis, puasa tiga hari pada awal bulan, pertengahan bulan dan akhir bulan atau puasa selang sehari ( sehari berpuasa dan sehari berbuka).

Berkenaan dengan berpuasa sunat selepas 15 Sya’ban pula hukumnya adalah haram sebagaimana dijelaskan dari hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda :

اذا انتصف شعبان فلا تصوموا
Maksudnya:
                “ Apabila telah berlalu 15 Sya’ban tidak boleh puasa.
( Hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah – sahih)

                Walaupun demikian, dibenarkan berpuasa sekiranya sudah menjadi adat tertentu dia berpuasa sebelum 16 Sya’ban atau menyambung dari puasa yang seseorang berpuasa sebelum 16 Sya’ban. Ini berdasarkan hadis berikut:
لا تقدموا رمضان يصوم يوم او يومين الا اذا كان يصوم صوما فليصمه
Maksudnya:
“ Janganlah kamu mendahului berpuasa sebelum Ramadan sehari atau dua hari melainkan sekiranya puasa yang biasa dilakukan maka boleh dia teruskan puasa.”
( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

                Begitu juga dibenarkan kita berpuasa selepas 15 Sya’ban sekiranya puasa yang dibuat ialah puasa wajib seperti puasa nazar atau puasa qada.
Di samping berpuasa, kita juga boleh memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain antaranya ialah:-
1)      membaca al-Quran
2)      bertaubat
3)      beristighfar
4)      berzikir
5)      memperbanyakkan solat sunat
6)      bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim,
7)      melakukan amalan kebajikan,
8)      memohon keampunan untuk ibu-bapa
9)      memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi, tidak ada suatu pun keistimewaan pada pertengahan bulan Syaaban (nisfu Syaaban) sebagaimana yang difahamkan oleh sebahagian daripada masyarakat kita pada hari ini. Sebaliknya peristiwa besar yang berlaku pada pertengan bulan Syaaban ialah peristiwa peralihan kiblat daripada Baitul Maqdis ke Kaabah iaitu daripada Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram.

Selain daripada peristiwa tersebut, sesuatu yang sahih daripada nabi pada bulan Syaaban ini bagaimana telah dinyatakan di atas, Rasulullah saw memperbanyakkan puasa sunat sebagai suatu persediaan menyambut ketibaan Ramadhan.

AMALAN PADA MALAM NISFU SYA'BAN
1)      Memperbanyakkan beristighfar (memohon keampunan kepada Allah) dan taubat dari dosa-dosa besar dan kecil serta meminta diampunkan Allah ibubapa kita dan keluarga kita.
2)      Memohon keampunan dan taubat  ( sebanyak 70 - 100 kali pada waktu pagi dan petang).
3)      Membaca Al-Quran.
4)      Membaca Tasbih: Seratus kali tiap-tiap satu.
5)      Membaca Salawat Atas Nabi
6)      Membaca Zikrullah: (La ila ha illallah) 100 kali selepas sembahyang Subuh dan Asar.
7)      Sembahayang-sembahyang sunat: Solat Sunat Mutlaq, , Solat Sunat mengiringi Fardhu,Solat  Sunat Awwabin, Solat Sunat Tahajjud, Solat Sunat Tasbih, Solat Sunat Witir dan Solat Sunat Hajat di tengah malam sebaik-baiknya memohon hajat sesuatu.

HADIS MENGENAI KELEBIHAN MALAM NISFU SYA'BAN

Menurut al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi , tidak ada satu hadis sahih mengenai keutamaan malam nisfu syaaban, dan semua hadis mengenainya bertaraf dhaif yang tidak boleh diamalkan. Walau bagaimanapun terdapat hadis mengenai fadilat malam nisfu syaaban yang dianggap Hasan oleh sebahagian ulamak, walau ia telah didhaifkan oleh sebahagian ulamak lain.

Hadis tersebut ialah:
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)”
(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah.


Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan pada malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti membaca Yasin  tiga kali, dan menunaikan solat-solat tertentu seperti solat sunat nisfu syaaban adalah bukan ajaran Nabi s.a.w.

Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya 'Fatawa Mu'asirah', “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya".

Pendapat ini juga disepakati oleh majoriti ulamak seperti Sayyid Sabiq, Prof Mutawalli Sya'rawi, Dr Abdul Karim Zaidan dan sebagainya. Begitu juga dengan doa khusus yang dibaca pada malam nisfu Syaaban, ianya bercanggah dengan nas al-Quran dan Hadis. Inilah pendapat yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi.

Justeru, daripada pandangan-pandangan ulamak yang dikemukakan di atas, adalah menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk memahami dengan sejelas-jelasnya agar kita tidak termasuk dalam golongan yang membuat sesuatu amalan itu secara membuta-tuli.

Bukanlah bermakna, kita tidak boleh melakukan amalan pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita tidak boleh melakukan amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam nisfu syaaban.

Namun, untuk membaca ayat-ayat al-Quran tertentu seperti Yasin dan seumpamanya, maka ia boleh dilakukan tetapi dengan syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin sebanyak 3 kali dan seumpamanya. Alangkah baiknya juga kalau pada malam itu juga diisi dengan program pengajian ilmu agar pemahaman terhadap ajaran Islam semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Justeru, amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, berpuasa dan yang seumpamanya hendaklah dilaksanakan bukan sahaja pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita hendaklah beristiqamah melaksanakan amalan-amalan kebajikan tersebut pada bila-bila masa sahaja siang ataupun malam. Sesungguhnya apabila kita dapat melaksanakan sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan dan amalan tersebut bertepatan dengan hukum syara', maka kita akan tergolong daripada umat Islam yang menuju ke arah kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Perbanyakkanlah amalan sunat di bulan Syaaban sebagai suatu persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak. Mudah-mudahan kita diberikan kekuatan oleh Allah untuk melakukannya. Amin…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan