KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah
Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad
Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh
pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media
elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan
peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV,
radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham
dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya
dalam bulan yang diberkati itu.
Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya
diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti
berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah
bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan
antaranya:
· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana
dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca
kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang
tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap
batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang
mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S.
menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana
yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya
seperti Nabi Muhammad S.A.W..
· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh
Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair
tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat
memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti
Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga
dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis
ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru
diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis
maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.
Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam
sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai
janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan
dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan
tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis
Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama
kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang
mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana
sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia
menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir.
Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada
dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman
supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus
riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan
kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan
sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu
maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan
hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak
menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak
ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. diantara
hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti
hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis
nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan
sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata:
Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang
biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya
adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman
Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa
yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk
melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati
hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya
hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu
hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan
sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika
dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan
kaa'bah..
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang
menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya
hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh
keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang
lalu. (Al-Bukhari)
Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan
sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud:
Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab:
Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)
Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan
adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam
menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah
hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu
mengerjakannya.
Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari
meneliti sanad perawinya ialah
1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat
pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama
dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan
nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali
sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil
sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang
dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana
tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.
3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad
s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang
terdapat dalam hadis-hadis shohih.
4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan
"Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa
hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang
shohih.Yang lainnya adalah palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti
institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin
terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi
pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu
dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya
tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai
masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala
sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan
seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan