Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Dia (Allah) yang memiliki sekelian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw juga kepada ahli keluarganya serta para sahabat sekelian.
Masa berlalu begitu pantas, sedar tak
sedar Rejab telah meninggalkan kita, Sya’ban pula mula menjenguk kita dan tak
lama kemudian kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadan. Marilah sama-sama
kita berdoa agar Allah memberikan kesihatan dan panjang umur untuk berjumpa
bulan Ramadan “ Ya Allah sampaikanlah kami pada bulan Ramadan”.
Biasanya apabila tiba bulan Muharam,Rejab,
Sya’ban dan Ramadan, kita seringkali mendengar hadis-hadis mengenai
keistemewaan dan kelebihan bulan-bulan ini akan dibaca dan diajar secara
meluas. Antaranya ialah hadis: “Rejab bulan Allah, Sya`ban bulanku dan Ramadhan
bulan umatku”. Menurut kebanyakan ulama' hadis ini adalah hadis munkar atau
dengan erti kata yang lain ia adalah hadis palsu (bohong). Sewajarnya untuk
membicarakan tentang kelebihan atau keistemewaannya kita menjadikan ulama’
hadis sebagai rujukan supaya kita benar-benar membawakan hadis-hadis daripada
riwayat yang sahih.
Berikut adalah
sebahagian daripada hadis yang boleh diterima:
1. Daripada Usamah bin Zaid r.a. beliau
meriwayatkan:
قلت يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم من
شعبان؟ قال
ذلك شهر يغفل
الناس عنه بين رجب ورمضان وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين فأحب أن يرفع
عملي وأنا صائم. ( صحيح)
Maksudnya:
Saya
bertanya Rasulullah saw : "Ya Rasulullah, saya tidak pernah melihat anda berpuasa
dari satu bulan dari bulan-bulan yang lain seperti anda berpuasa dari bulan
sya'ban." Aku bertanya kepada baginda " Kenapa aku tidak pernah
melihat engkau berpuasa dibulan-bulan yang lain sepertimana engkau berpuasa
dibulan Sya'ban." Baginda saw menjawab: Itulah bulan yang manusia melupakannya
iaitu diantara bulan Rejab dan bulan Ramadan. Ia juga bulan yang diangkatkan
amalan kepada Allah swt. Aku suka diangkat amalanku dalam keadaan aku
berpuasa." (Hadis Sahih)
2. Ummu Salamah r.a. meriwayatkan katanya:
ان رسول الله i
لم يكن يصوم من السنة شهرا تاما الا شعبان
يصل به رمضان.
( صحيح)
Maksudnya:
“Bahawasanya Rasulullah saw tidak berpuasa sebulan penuh dari setahun
melainkan bulan Sya’ban dengan Ramadan”. (Hadis Sahih)
3. ‘Aisyah
r.a. pula meriwayatkan katanya:
ما رأيت رسول
اللهiاستكمل صيام شهر قط الا شهر رمضان
وما رأيته في شهر أكثر منه صياما في شعبان . ( صحيح)
Maksudnya:
“Saya tidak pernah melihat
Rasulullah saw meyempurnakan puasa sebulan sama sekali kecuali dibulan Ramadan, dan saya tidak
pernah melihatnya lebih banyak berpuasa daripada bulan Sya’ban”.
(Hadis Sahih)
Dan menurut satu riwayat lain disebutkan:
لم يكن النبي يصوم اكثر من شعبان فانه يصوم كله. ( صحيح)
Maksudnya:
"Nabi saw tidaklah berpuasa lebih banyak daripada bulan sya'ban
kerana sesungguhnya ia berpuasa
sebulan penuh." (Hadis sahih)
Penerangan Hadis:
1. Rasulullah SAW
menghayati semua atau sebahagian besar bulan Sya’ban dengan mengerjakan
puasa sunat.
2. Disunatkan memperbanyakkan ibadat puasa dalam
bulan Sya’ban kerana dalam bulan ini ramai manusia melupakannya ( lalai).
3. Segala amalan akan diangkat kepada Allah SWT dalam
bulan Sya’ban.
4. Tiada amalan khusus seperti puasa nisfu Sya’ban
sebaliknya hanya puasa-puasa sunat sahaja seperti puasa hari isnin dan khamis,
puasa tiga hari pada awal bulan, pertengahan bulan dan akhir bulan atau puasa
selang sehari ( sehari berpuasa dan sehari berbuka).
Berkenaan dengan berpuasa sunat selepas 15 Sya’ban pula hukumnya
adalah haram sebagaimana dijelaskan dari hadis yang diriwayatkan
oleh Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda :
اذا انتصف شعبان فلا تصوموا
Maksudnya:
“ Apabila telah berlalu 15
Sya’ban tidak boleh puasa.
( Hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah –
sahih)
Walaupun
demikian, dibenarkan berpuasa sekiranya sudah menjadi adat tertentu dia
berpuasa sebelum 16 Sya’ban atau menyambung dari puasa yang seseorang berpuasa
sebelum 16 Sya’ban. Ini berdasarkan hadis berikut:
لا تقدموا رمضان يصوم يوم او يومين الا اذا كان
يصوم صوما فليصمه
Maksudnya:
“ Janganlah kamu mendahului
berpuasa sebelum Ramadan sehari atau dua hari melainkan sekiranya puasa yang
biasa dilakukan maka boleh dia teruskan puasa.”
( Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim)
Begitu juga dibenarkan kita berpuasa
selepas 15 Sya’ban sekiranya puasa yang dibuat ialah puasa wajib seperti puasa
nazar atau puasa qada.
Di samping berpuasa, kita juga boleh memperbanyakkan amalan-amalan
sunat yang lain antaranya ialah:-
1) membaca al-Quran
2) bertaubat
3) beristighfar
4) berzikir
5) memperbanyakkan solat sunat
6) bersedekah bagi menolong meringankan
penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim,
7) melakukan amalan kebajikan,
8) memohon keampunan untuk ibu-bapa
9) memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi
keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi, tidak ada suatu pun
keistimewaan pada pertengahan bulan Syaaban (nisfu Syaaban) sebagaimana yang
difahamkan oleh sebahagian daripada masyarakat kita pada hari ini. Sebaliknya
peristiwa besar yang berlaku pada pertengan bulan Syaaban ialah peristiwa peralihan
kiblat daripada Baitul Maqdis ke Kaabah iaitu daripada Masjid al-Aqsa ke Masjid
al-Haram.
Selain daripada peristiwa tersebut, sesuatu yang sahih daripada
nabi pada bulan Syaaban ini bagaimana telah dinyatakan di atas, Rasulullah saw
memperbanyakkan puasa sunat sebagai suatu persediaan menyambut ketibaan
Ramadhan.
1)
Memperbanyakkan
beristighfar (memohon keampunan kepada Allah) dan taubat dari dosa-dosa besar
dan kecil serta meminta diampunkan Allah ibubapa kita dan keluarga kita.
2)
Memohon
keampunan dan taubat ( sebanyak 70 - 100 kali pada
waktu pagi dan petang).
3)
Membaca
Al-Quran.
4)
Membaca
Tasbih: Seratus kali tiap-tiap satu.
5)
Membaca
Salawat Atas Nabi
6)
Membaca
Zikrullah: (La ila ha illallah) 100 kali selepas sembahyang Subuh dan Asar.
7)
Sembahayang-sembahyang
sunat: Solat Sunat Mutlaq, , Solat Sunat mengiringi Fardhu,Solat Sunat Awwabin, Solat Sunat Tahajjud, Solat Sunat
Tasbih, Solat Sunat Witir dan Solat Sunat Hajat di tengah malam sebaik-baiknya
memohon hajat sesuatu.
HADIS MENGENAI KELEBIHAN MALAM NISFU SYA'BAN
Menurut al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi , tidak
ada satu hadis sahih mengenai keutamaan malam nisfu syaaban, dan semua hadis
mengenainya bertaraf dhaif yang tidak boleh diamalkan. Walau bagaimanapun
terdapat hadis mengenai fadilat malam nisfu syaaban yang dianggap Hasan oleh
sebahagian ulamak, walau ia telah didhaifkan oleh sebahagian ulamak lain.
Hadis tersebut ialah:
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada
malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik
(orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)”
(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah.
Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan pada malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti membaca Yasin tiga kali, dan menunaikan solat-solat tertentu seperti solat sunat nisfu syaaban adalah bukan ajaran Nabi s.a.w.
Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan pada malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti membaca Yasin tiga kali, dan menunaikan solat-solat tertentu seperti solat sunat nisfu syaaban adalah bukan ajaran Nabi s.a.w.
Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam
kitabnya 'Fatawa Mu'asirah', “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w.
dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan
malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita
lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang
ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca
surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang
lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca
doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan
tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran
dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya".
Pendapat ini juga disepakati oleh majoriti ulamak seperti Sayyid Sabiq, Prof Mutawalli Sya'rawi, Dr
Abdul Karim Zaidan dan sebagainya. Begitu juga dengan doa khusus yang dibaca
pada malam nisfu Syaaban, ianya bercanggah dengan nas al-Quran dan Hadis.
Inilah pendapat yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi.
Justeru, daripada pandangan-pandangan ulamak
yang dikemukakan di atas, adalah menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk
memahami dengan sejelas-jelasnya agar kita tidak termasuk dalam golongan yang
membuat sesuatu amalan itu secara membuta-tuli.
Bukanlah bermakna, kita tidak boleh melakukan
amalan pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita tidak boleh melakukan
amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum
syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam
nisfu syaaban.
Namun, untuk membaca ayat-ayat al-Quran
tertentu seperti Yasin dan seumpamanya, maka ia boleh dilakukan tetapi dengan
syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin sebanyak 3 kali dan seumpamanya.
Alangkah baiknya juga kalau pada malam itu juga diisi dengan program pengajian
ilmu agar pemahaman terhadap ajaran Islam semakin meningkat dari semasa ke
semasa.
Justeru, amalan-amalan sunat seperti membaca
al-Quran, berzikir, solat sunat, berpuasa dan yang seumpamanya hendaklah
dilaksanakan bukan sahaja pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita hendaklah
beristiqamah melaksanakan amalan-amalan kebajikan tersebut pada bila-bila masa
sahaja siang ataupun malam. Sesungguhnya apabila kita dapat melaksanakan
sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan dan amalan tersebut bertepatan dengan
hukum syara', maka kita akan tergolong daripada umat Islam yang menuju ke arah
kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Perbanyakkanlah amalan sunat di bulan Syaaban
sebagai suatu persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak. Mudah-mudahan
kita diberikan kekuatan oleh Allah untuk melakukannya. Amin…