Khamis, 19 Julai 2012

KEISTIMEWAAN 10 AKHIR RAMADAN


Keistimewaan 10 terakhir Ramadan
Ihya’ Ramadan
 
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadan) baginda menghidupkan malam, baginda mengemaskan kainnya dan baginda mengejutkan isterinya (yakni tidak bersama dengan isteri).

Hadis ini menceritakan kepada kita bagaimana Nabi SAW bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah meskipun baginda tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh tauladan yang baik kepada umatnya di dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadan.

Panduan yang diberikan oleh baginda ini menggambarkan betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Menjadi suatu yang amat malang sekiranya kita semakin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadan semakin hampir meninggalkan kita.
Imam Muslim juga meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a berkata: Bahawa Nabi SAW bersungguh-sungguh (beribadat) pada 10 malam terakhir tidak seperti mana (di bulan) selainnya.

Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda SAW wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton televisyen atau mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Kerana inilah fenomena yang sering kita lihat.

Kelebihan 10 malam terakhir seolah-olah tidak langsung diambil kira. Malah lebih mendukacitakan, ada di kalangan muda-mudi Islam yang keluar malam ke taman-taman untuk memadu kasih tanpa rasa berdosa dan malu.
Sepatutnya bapa sebagai ketua keluarga mengambil berat soal membudayakan suasana ibadah khususnya pada 10 malam terakhir ini. Anak-anak perlukan satu panduan dan contoh dari ibu bapa.

Sebaliknya jika ibu bapa turut serta mengabaikan ibadah di penghujung Ramadan maka tidak hairanlah anak-anak tidak berminat untuk mengerjakan solat tarawih sebaliknya datang ke masjid atau surau hanya untuk membuat bising dan bermain mercun.

Apa yang dimaksudkan dengan baginda SAW menghidupkan malam dan mengemaskan kain sarungnya ialah sebagai satu gambaran bagaimana bersungguhnya baginda menumpukan saat ini dengan ibadah sehinggakan baginda tidak bersama dengan isteri untuk 10 malam terakhir ini.

Kesungguhan ini didorong pula dengan kelebihan sepuluh malam terakhir yang dijanjikan dengan kehadiran malam Al-Qadr atau Lailatulqadar.
Firman Allah SWT: Maksudnya: (Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan, Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan). (al-Qadr: 1-3)

Malam al-Qadr sengaja dirahsiakan oleh Allah Taala sebagai satu ujian kepada umat Islam di dalam mencari rahmat dan kasih-Nya. Bagi mereka yang benar-benar beriman keghairahan mencari reda Allah menjadikan mereka begitu teruja meningkatkan pencarian ganjaran berlipatganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Sebaliknya bagi mereka yang alpa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hari raya yang menyibukkan mereka hingga terlupa promosi istimewa pelepasan azab neraka yang dijanjikan oleh Allah di penghujung Ramadan.

Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ialah menghidupkan malam dengan solat malam seperti tahajud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah. Juga digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga supaya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah.
Ibu bapa wajar mengajak anak-anak yang sudah dewasa khususnya bersama berqiamullail dan jangan biarkan mereka lena. Bagi memudahkan mereka bangun bersama pastikan mereka dapat tidur lebih awal.

Bagi suami isteri 10 malam terakhir tidak digalakkan untuk bersama kerana Nabi SAW diberitakan bahawa baginda mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana disibukkan dengan amal ibadah.

Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan ini iaitu dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadat kepada Allah. Kata Imam Az-Zuhri: Maksudnya: “Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia”.

SEMOGA RAMADAN TAHUN INI LEBIH BAIK DARIPADA RAMADAN YANG LALU. AMIN..

 


KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH




KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.

Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..

· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. diantara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Rabu, 11 Julai 2012

NOTA CEMERLANG PENDIDIKAN ISLAM TINGKATAN 4



BAHAGIAN AKIDAH

PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN

Pengertian Iman

  • Pada bahasa      : Percaya
  • Pada istilah        : Membenarkan di hati, mengakui dengan lidah dan beramal  
                          dengan anggota.

KEPERLUAN IMAN DALAM KEHIDUPAN

  • Membentuk insan muslim sejati
  • Sentiasa istiqamah dalam kehidupan
  • Bertanggungjawab dan amanah
  • Berani menegakkan kebenaran
  • Sebagai pencetus semangat jihad

  • Melahirkan generasi berakhlak mulia
  • Melakukan kebaikan
  • Sabar dan reda menghadapi kesusahan
  • Memupuk semangat persaudaraan
  • Bersyukur dengan nikmat Allah

CARA UNTUK MEMBUKTIKAN KEIMANAN :

Mematuhi perintah Allah dan meninggalkan laranganNya seperti:

Perintah Allah
Larangan Allah
  • Menunaikan solat, puasa dan zakat
  • Menuntut ilmu berfeadah
  • Membaca al-Quran
  • Berzikir
  • bersedekah
  • Tidak  menunaikan solat, puasa dan zakat
  • Menuntut ilmu
  • Tidak membaca al-Quran
  • Tidak berzikir
  • Tidak mahu bersedekah


CIRI-CIRI ORANG YANG BERIMAN

  • Taat perintah Allah
  • Tekun melakukan ibadat
  • Bertanggungjawab
  • Amanah
  • Adil

  • Tidak berputus asa
  • Menepati janji
  • Bertawakal
  • Penyayang
  • Rajin

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN

Terdapat 6 perkara yang membatalkan iman iaitu:
i.              syirik
ii.             kufur
iii.            khurafat

iv.            riddah / murtad
v.             sihir
vi.            nifak / munafik
1.   SYIRIK

Pengertian syirik ialah menyekutukan Allah dengan sesuatu pada zat, sifat dan af’alnya (perbuatannya)

Syirik boleh berlaku melalui :
i.              perbuatan     contoh: puja kubur, sujud kepada berhala
ii.             perkataan    contoh: mengatakan Nabi Isa a.s anak Allah
iii.                                    kepercayaan      contoh: mempercayai tangkal azimat, mempercayai bintang dua 
              belas menentukan nasib.



BAHAGIAN SYIRIK
Syirik
Maksud
Contoh
Akibat

1.  Syirik Jali


Perlakuan syirik secara terang-terangan

  • Menyembah patung  dan berhala
  • Menyembah bulan  atau matahari
  • Mengakui nabi Isa sebagai anak tuhan

o    Rosak akidah
o    Berdosa besar
o    Mendapat azab di akhirat

2.  Syirik Khafi
( Syirik ini tidak membatalkan iman)


Perbuatan syirik secara bersembunyi

  • Riak: menunjuk-nunjuk , kehebatan diri
  • Ujub: mengakagumi diri sendiri
  • Takbur; bangga diri
  • Sum’ah: buat sesuatu untuk dipuji

o    Dibenci masyarakat
o    Hilang kawan atau sahabat
o    Sukar menerima pandangan orang lain

2.   KUFUR

Pengertian kufur ialah tidak percaya kepada Allah serta mengingkari ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W.

Orang yang melakukan perbuatan ini digelar kafir dan Allah melaknatinya.

BAHAGIAN KUFUR
KUFUR HAKIKAT
KUFUR NIKMAT

Ingkar atau menafikan rukun iman dan menolak syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W
Contoh:
  • Tidak mengakui balasan di akhirat
  • Menolak hukum yang terdapat dalam al-Quran
  • Menyatakan solat fardu merugikan masa
  • Menyatakan puasa Ramadan melemahkan ekonomi
Menyalahgunakan nikmat Allah ke jalan yang tidak diredaiNya.
Contoh:
  • Menggunakan nikmat ke jalan maksiat
  • Enggan mengeluarkan zakat atau sedekah
  • Boros membelanjakan harta

  Faktor menyebabkan kekufuran
  • Kesempitan hidup
  • Pegangan agama yang lemah
  • Terpengaruh dengan kemewahan hidup
  • Terpengaruh dengan hawa nafsu yang inginkan keseronokkan dan kebebasan

Kesan Buruk /akibat Kufur :                                                                 

Terhadap Individu
  • Batalkan iman / rosak akidah
  • Menimbulkan kemarahan orang lain
  • Segala amalan menjadi sia-sia / tidak diterima Allah
  • Tidak memperolehi keberkatan dan keredhaan Allah

Terhadap Masyarakat
  • Umat Islam dipandang hina
  • Mencemarkan kesucian Islam
  • Melemahkan pegangan masyarakat Islam terhadap ajaran Islam

3.    RIDDAH / MURTAD

Riddah bermaksud berpaling atau keluar daripada Islam. Orang yang keluar dari Islam dihukum sebagai  murtad.

Cara keluar Islam
Iktikad( niat )     : Berniat hendak meninggalkan Islam.
Perkataan          : Isytiharkan diri keluar daripada agama Islam.
                          Mengatakan hukum Islam itu lapuk
Perbuatan          : Menganut agama selain daripada agama Islam.
                          Sujud kepada makhluk

Sebab atau Faktor Yang Membawa kepada Murtad
  • Pegangan agama yang lemah.
  • Terpengaruh dengan kebendaan.
  • Jahil tentang akidah & hukum Islam.
  • Terpengaruh dengan agama bukan Islam.
  • Tiada bimbingan selepas memeluk Islam.

Kesan / Implikasi Murtad
  • Hubungan suami isteri terfasakh/ terbatal (perkahwinan terbatal)
  • Haram menerima harta pusaka daripada waris
  • Hartanya haram dipusakai oleh ahlinya yang Islam
  • Haram dikebumikan di perkuburan Islam.
  • Menjadi penghuni neraka selama-lamanya.
  • Tidak boleh jadi wali/ wakil akad nikah.
  • Dibunuh jika enggan kembali kepada Islam.

Langkah Mengatasi Murtad
  • Beri pendidikan agama pada setiap muslim.
  • Melaksanakan hukum hudud.
  • Mengenakan tindakan tegas terhadap orang murtad.
  • Menerangkan keburukan murtad.

Cara Menangani Murtad
  • Menasihatkan hingga 3 kali supaya bertaubat & kembali kepada agama Islam.
  • Beri perlindungan/ bantuan sekiranya dia muallaf (baru masuk Islam).
  • Pemerintah kenakan hukuman bunuh, jika masih degil.

Hikmat Hukuman Bunuh
  • Beri amaran bahawa agama Islam tidak boleh dipermain-mainkan.
  • Mengelakkan perbuatan riddah yang mencemar kesucian Islam.
  • Hindari masyarakat Islam daripada berpecah belah & huru hara.
  • Halang perbuatan yang merendah dan memburukkan Islam.


4.   KHURAFAT

Ialah kepercayaan atau perbuatan Karut yang dianggap mempunyai hubungan dengan agama Islam tetapi pada hakikatnya bertentangan dengan konsep Tauhid dan Syariat Islam.


Contoh-contoh Khurafat
  • Percaya tangkal azimat boleh menahan bahaya kepada pemakainya.
  • Percaya suara binatang seperti burung boleh membawa tuah/ sial.
  • Mengunjungi kubur yang dianggap keramat untuk memohon sesuatu hajat.
  • mengadakan upacara mandi tolak bala pada hari Rabu akhir dalam bulan Safar.
  • Mandi bunga supaya cepat dapat jodoh.
  • Buang ancak bagi menghalau hantu/syaitan.

Sebab/ Faktor Berlaku Khurafat
  • Lemah iman.
  • Tidak mempunyai ilmu pengetahuan agama yang mendalam.
  • Ingin mencari jalan mudah untuk jadi kaya.
  • Terpengaruh/terikut-ikut dengan masyarakat yang mengamalkan khurafat.
  • Masyarakat tidak prihatin membanteras amalan khurafat.
  • Masih terdapat tempat permujaan yang boleh membawa kepada khurafat.

Cara Mengatasi Khurafat
  • Menyebarkan risalah yang menerangkan keburukan khurafat.
  • Mengenakan hukuman berat kepada yang terlibat dengan khurafat.
  • Mengawasi tempat yang di anggap keramat oleh masyarakat.
  • Menggiatkan usaha dakwah kepada semua lapisan masyarakat.
  • Menyedarkan mereka yang masih mengamalkan khurafat.
  • Menghapuskan tempat-tempat yang dianggap keramat oleh masyarakat.

Kesan Khurafat
·                        Membazir masa, tenaga dan harta dengan perkara sia-sia.
·                        Masyarakat menjadi mundur dan ketinggalan zaman.
·                        Membawa kepada permusuhan dan pergaduhan.
·                        Menyebabkan syirik dan batal imannya.
·                        Menyekat akal berfikir secara logik.


5.    SIHIR

Ilmu yang berkaitan perbuatan secara halus melalui pertolongan makhluk ghaib iaitu dengan bantuan syaitan atau jin. Ia bertujuan untuk memudarat, menyesat dan mengelirukan manusia.

Contoh-Contoh Sihir
  • Memecah belahkan pasangan suami isteri.
  • Perbomohan: santau atau guna-guna dan sebagainya.
  • Riak: kecantikan diri/ kekuatan luar biasa.
  • Pertunjukkan silap mata memukau.
  • Mendatangkan penyakit mental / fizikal.

Punca Berlaku Sihir dalam masyarakat
  • Perasaan benci terhadap seseorang.
  • Perasaan dendam terhadap seseorang.
  • Iri hati dengan kedudukan/ kekayaan seseorang.


Kesan/ Akibat Perbuatan Sihir

i.             Terhadap individu
·         Merosakkan akidah dan membatalkan iman
·         Hilang pergantungan kepada Allah
·         Ahli sihir jadi takbur dan berani melakukan kezaliman
·         Membazir masa,tenaga dan harta

ii.            Terhadap masyarakat
·         Menimbulkan pergaduhan
·         Memecahbelahkan masyarakat dan menimbulkan fitnah

Cara Mengelak Dari Sihir
  • Beriman kepada Allah dengan sepenuhnya.
  • Sentiasa berdoa dijauhkan dari terkena sihir.
  • Sentiasa membaca Al Quran / ayat kursyi setiap kali selesai solat
  • Memohon perlindungan dengan nama-nama Allah ( asma’ul husna )


6.    NIFAK / MUNAFIK

Ia bermaksud berpura-pura melahirkan keimanan sedangkan hati tetap kufur kepada Allah. Pengamal sifat ini digelar munafik.

Ciri-ciri/ tanda Sifat Munafik
  • Bila bercakap suka berbohong
  • Bila diberi amanah dia khianat.
  • Bila berjanji suka mungkir janji
  • Bila berbalah dia melampaui batas.

Cara Elak Diri Dari Sifat Munafik / Langkah Mengawal Diri
  • Tingkatkan keimanan & ketakwaan kepada Allah.
  • Bercakap benar bila berbicara.
  • Bersikap jujur dan amanah.
  • Menunaikan janji.

Kesan / Akibat Buruk Munafik
  • Melemahkan perpaduan masyarakat.
  • Menghancurkan kekuatan umat Islam.
  • Hilangkan sikap percaya mempercayai.
  • Menghalang usaha memajukan masyarakat.
  • Tiada ketenangan hidup dunia dan akhirat.